Thursday, October 27, 2011

istikharah

Petunjuk istikharah tidak semestinya dalam bentuk mimpi. Ia boleh hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat Imam Nawawi r.a. dan disokong oleh kebanyakan ulama. Selepas beristikharahdan berbincang, kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itupun suatu petunjuk. Jadi mengapa perlu takut untuk istikharah?
Sekiranya seseorang itu mengalami mimpi yang menenangkan hatinya selepas istikharah, ia hanyalah bonus daripada Allah untuknya. Petunjuk tidak semestinya melalui mimpi.
Jangan terpedaya dengan seseorang yang berhujah dengan mimpinya sendiri bagi memaksa orang lain menerima dirinya. Mimpi orang lain tidak boleh menjadi hujah untuk kita.
Hatta sekiranya kita sendiri yang bermimpikan seseorang selepas istikharah, kita perlu memastikan terlebih dahulu mimpi itu tidak dipengaruhi oleh kecenderungan tertentu akibat tidak menjaga hati, dan membiasakan diri dengan banyak perkara yang melalaikan. Imam Ibnu Hajar al-Asqolani menekankan supaya jangan cenderung kepada satu antara dua atau lebih pilihannya sebelum membuat istikharah. (Fath al-Bari, 11/223). Jangan sandarkan keputusan sepenuhnya kepada mimpi tanpa mempertimbangkan hujah yang jelas dengan perbincangan melalui petunjuk al-Quran dan al-Sunnah .

No comments: